BAB 3 - KAJIAN PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR

“Pengajaran” atau “pedagogi” bermaksud bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya.  Ia merupakan satu proses daripada persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu. Pengajaran juga adalah rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar menjalankan aktiviti pembelajaran

Pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar  menjalankan aktiviti pembelajaran. Santrock J.W dalam bukunya Educational Psychology: A Tool for Effective Teaching menyatakan bahawa pengajaran berkesan bergantung kepada 2 faktor utama iaitu : pengetahuan profesional guru dan komitmen guru yang berupaya merancang pengajaran tersusun dengan cemerlang (excellent instructional planning).

Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan  tingkah laku yang berbeza.  Dari sudut kognitif, pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan tingkah laku yang segera. Perubahan struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan skema, kepercayaan, jangkaan dan matlamat.  Proses pembelajaran yang berlaku secara berterusan akan membawa perubahan tingkah laku.  Contohnya, seseorang murid akan mula menguasai kemahiran membaca setelah proses pembelajaran  berlaku secara berulang-ulang dan berterusan.  Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu fakta akan mudah dikuasai apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai bahan bantu mengajar sebagai bahan rangsangan seperti gambarajah, jadual, carta, gambar dan lain-lain alat bantu yang memudahkan murid-murid menghubungkaitkan maklumat.

Seterusnya proses penilaian dan pengukuran perlu dilaksanakan oleh guru untuk mengetahui keberkesanan pengajaran.  Penilaian prestasi merupakan satu proses meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi, aktiviti, hasil dan impak pengajaran dan pembelajaran bagi membuat analisis untuk memastikan pelajar telah menguasai kemahiran yang disampaikan oleh guru. Guru juga dapat merancang aktivti selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan dan mengambil tindakan susulan .

Menurut  D. Stufflebeam dalam bukunya “ Educational Evaluation and Decision Making”, beliau telah mentakrifkan penilaian sebagai satu proses menentukan, mendapatkan serta memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan yang selanjutnya. Gay (1985) pula berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses sistematik mengumpul dan menganalisis data  bagi menentukan  sama ada  sesuatu objektif  yang telah ditetapkan itu telah tercapai.

Keberkesanan sesuatu proses pengajaran tidak dapat dipastikan tanpa proses penilaian oleh guru semasa dan selepas pengajaran berlaku. Penilaian dilaksanakan berperanan untuk:

      Mengesan perkembangan penguasaan murid dan mengenal pasti kekuatan dan  kelemahan murid dalam pembelajaran untuk merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan
    Mengenal pasti keberkesanan pengajaran guru supaya membolehkan guru memperbaiki pengajaran selanjutnya
   Mengambil tindakan susulan untuk mengatasi kelemahan & meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran
meningkatkan keberkesanan pengajaran .

Keputusan peperiksaan penilaian formatif  pula yang dilaksanakan selepas tamat sesuatu tajuk dan  penilaian sumatif yang dilaksanakan secara holistik pada hujung semester dapat menilai pencapaian pelajar. Penilaian prestasi pelajar juga membolehkan guru menilai semula strategi pengajaran dan membuat penambahbaikan. Penilaian menyeluruh pelajar dapat dilakukan melalui data-data pengukuran kuantitatif dan kuanlitatif .

Pengukuran merupakan satu proses sistematik  untuk  mendapatkan maklumat secara kuantitatif untuk menentukan pencapaian murid. Tujuan utama pengukuran adalah untuk membuat pengelasan bagi pencapaian akademik murid dalam pembelajaran dan membuat penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru. Alat pengukuran dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah seperti data kuantitatif hasil daripada ujian bulanan, kuiz,  peperiksaan, temubual murid/rakan sekerja, soal selidik,  senarai semak, rekod anekdot, skala kadar, sosiogram, data pemerhatian dan kajian tindakan. Alat pengukuran yang tepat dalam proses penilaian mampu memberi maklumat berharga kepada guru untuk mengukur pembelajaran pelajar dan menilai keberkesanan pengajaran guru .  Apabila guru memberikan ujian kepada pelajarnya,  guru sebenarnya bukan sahaja sedang mengukur pencapaian pelajarnya tetapi juga mengukur keberkesanan strategi pengajarannya sendiri.
         
Penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru setelah melaksanakan penilaian dan pengukuran. Pendekatan Pengajaran Masteri contohnya amat menekankan bahawa guru perlu memastikan murid telah dapat menguasai sesuatu kemahiran sebelum kemahiran yang baru disampaikan. Penambahbaikan berbentuk pemulihan, pengayaan dan penilaian semula kesemua elemen-elemen yang terlibat semasa merancang dan semasa  proses pengajaran dan pembelajaran  berlaku perlu diambilkira oleh seorang guru yang proaktif dan berkesan
                 
Setelah guru selesai menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memperuntukkan masa membuat refleksi terhadap pelaksanaan pengajarannya. Langkah ini adalah penting untuk mengkaji keberkesanan pengajaran guru dalam aspek pemilihan strategi pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, maklumat dan sumber pengajaran, tahap pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi guru-murid.

Comments