Istilah
sosiologi telah diperkenalkan oleh Auguste Comte (1798 – 1857) dalam bukunya
Positive Philosophy (1842) dan berasal daripada perkataan latin iaitu “sosio”
yang bermaksud “berkongsi”. Selain itu, istilah ini juga merupakan gabungan
perkataan Yunani dan Rom yang bermaksud “pengetahuan mengenai masyarakat”.
Terdapat beberapa tokoh sosiologi yang terkenal seperti Ibnu Khaldun, Auguste
Comte, Karl Marx, Emile Durkheim, Max Weber dan George Herbert Mead. Disiplin
sosiologi mempunyai perspektifnya yang tersendiri tentang masyarakat dan
tingkah laku sosial. Tumpuan perspektif sosiologi adalah pada tingkah laku
masyarakat, memahami corak interaksi dan proses kelompok.
Definisi
Sosiologi ialah kajian yang sistematik dan saintifik mengenai manusia dan
interaksi sosial mereka dalam masyarakat daripada pelbagai sudut (Amir Hasan,
2002). Perspektif Sosiologi terbahagi kepada dua iaitu mikro yang bersifat
kecil dan fokus kepada individu manakala makro pula bersifat besar, kompleks,
dan berfokuskan masyarakat atau organisasi.
Di
samping itu, terdapat 3 teori utama sosiologi iaitu Teori Fungsionalisme, Teori
Konflik dan Teori Interaksionisme. Teori Fungsionalisme telah dipelopori oleh
Auguste Comte (1798-1857). Masyarakat dianggap seperti tubuh badan yang
mempunyai fungsi tersendiri. Struktur sosial akan menentukan kelancaran dan
keharmonian masyarakat. Penekanan: fungsi-fungsi pendidikan adalah untuk
kepentingan masyarakat. Menekankan pengaruh luaran ke atas pendidikan (komuniti
sekolah adalah penerima pasif apa yang ditentukan pihak luar). Misalnya seperti
aspek kurikulum, pedagogi, disiplin murid, peperiksaan,dan sebagainya.
Perkembangan individu tidak diutamakan.
Teori
Konflik pula dipelopori oleh Karl Marx (1818-1883) dan diikuti oleh Max Webber
(1864 – 1920). Teori ini melihat masyarakat daripada perspektif konflik dan
perubahan. Konflik boleh berlaku antara kelas sosial berbeza, kelas sosial yang
sama, dalam keluarga atau kumpulan yang mahukan perubahan. Konflik dalam
masyarakat menyumbang kepada perubahan sosial. Teori Interaksionisme dipelopori
oleh George Herbert Mead (1863-1931). Interaksi simbolik melihat bagaimana
individu membentuk dan dibentuk oleh interaksinya dengan orang lain. Makna
simbolik diperoleh dari bentuk simbol seperti perkataan, perlakuan, objek,
bahasa berguna semasa interaksi menyebabkan
hubungan bertambah mesra.
Pengertian Pendidikan
ialah suatu proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. Tujuan
utama pendidikan ialah untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi
dan rohani manusia ke arah kesempurnaan. (Syed Muhammad Qutb). Menurut John
Dewey, pendidikan ialah suatu proses perkembangan individu. Pendidikan
merupakan usaha mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula
jadi yang ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih
selamat lagi. Sosiologi pendidikan merupakan kajian yang sistematik dan
saintifik mengenai hubungan antara pendidikan dengan masyarakat, yang
seterusnya mempengaruhi matlamat, bentuk institusi, pentadbiran, kurikulum, dan
kaedah PdP. Pendidikan sebagai proses membantu pembelajaran seseorang murid
untuk memperkembangkan potensinya dan membentuk sahsiahnya.
Comments
Post a Comment